Posted by: Azhan Kamal | Tuesday, February 17, 2009

Kelahiran

Dari semalam Yana telah masuk wad, kelahiran pertama memang agak payah. Moga dipermudahkan segalanya. Moga selamat kedua ibu dan anak.

Hari ini dia menjadi ibu. Terasa baru semalam dia dilahirkan menjadi adik kami, membesar di depan mata dan kini dia menjadi ibu.

Teringat puisi ini yang saya tulis sempena hari perkahwinannya tahun lepas pada bulan June 2008 dan dihantar ke majalah WANITA kemudiannya:

KE NEGERI PERKAHWINAN

Selamat jalan adik perempuanku
ke negeri perkahwinan itu,
indah sentosa sebuah ikatan
manis bercahaya wajahmu kini
cincin di jari menambah seri
hati adik sudah dimiliki
pada suami harus ditaati
sehidup semati kekal harmoni.

Lambaian ini pasti menggamit memori
saat kami dibesarkan di sini
di sebuah rumah, di tengah bendang
menghitung masa mendatang
dewasa kami penuh kasih sayang,
ayah bonda berikan.

Tiba saatnya adik berangkat meninggalkan
zaman kecil yang terlalu indah
untuk dilupakan
simpan kemas di saku kenangan
moga bahagia terus berkekalan.

Sejahteralah hidup kalian,
doa ini kami titipkan
bersabarlah menempuh dugaan
pada kami dilupa jangan.

KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor.
12 Ogos 2008
(WANITA, November 2008 p: 182)


Leave a response

Your response:

Categories