Posted by: Azhan Kamal | Thursday, January 8, 2009

Laman Bonda

Saya mengambil keputusan untuk menamakan laman rumah orang tua saya di TK sebagai “Laman Bonda”. Ianya satu laman Melayu yang tipikal tapi sarat dengan nilai-nilai sentimental buat saya dan keluarga. Setiap hari ibu bapa saya akan membelek puluhan puluhan pasu dan pepohonan di sekeliling rumah dengan aneka tumbuhan dari pakis hinggalah ficus dan sudah semestinya keladi.

Laman ini juga turut menempatkan pokok rambutan, kelapa dan tumbuhan herba yang lain. Namun, buat masa ini fokus utamanya adalah keladi. Tanduk rusa, pelbagai jenis pakis dan Yucca juga turut menempatkan diri di laman kecil itu.

Ada beberapa penambahbaikan yang sedang dirancang seperti untuk menempatkan meja laman dan pancuran. Namun ianya mungkin mengambil sedikit masa untuk merealisasikannya. Buat masa ini laman bonda memberi sepenuh tumpuan untuk kerja-kerja susun atur tanaman dan memastikan koleksi keladi mencapai jumlah yang diingini.

LAMAN BONDA
 
Seindah warga bebungaan
yang menguntumkan bahagia
wangi kenangan berputik di sini
saat kecil berlarian mengejar mimpi
dewasa aku kembali menghargai
asal diri.
 
Di laman bonda ini,
jutaan kasih sayang  tidak bertepi
sesegar pepohonan yang menyeri
pagi yang manis dan malam yang
ranum dengan kisah di antara
batuan kusam yang bertebaran
menyembunyikan perit duka
silam yang ditinggalkan.
 
Aku berdiri mengamati
corak dan warna dedaunan
bagai hidup yang penuh misteri
lantas kusyukuri kurniaan Illahi
saat kukucup kebahagiaan ini
yang singgah di tangkai hidup
akan tetap kukongsi bersama
ayah bonda dalam jaluran cahaya
yang bertebaran menyambut kepulangan.
 
KAMAL SUJAK
MAYANG ROTAN, TG. KARANG
31.12.2008


Responses

  1. sedap sajak laman bonda ittewww..

  2. Thank you en-me tapi Mingguan tak siarkan pun sedih tau! hahahah… dia siarkan “Setitis Doa di langit Januari” 4 Jan.

  3. Senang sekali bila membaca sajak ni.


Leave a response

Your response:

Categories